MalaysiaGIS.com

You are here  :
Tumpahan Minyak PDF Print E-mail
Monday, 21 May 2001 00:00

Source: Utusan (page 3)

Sekumpulan penyelidik di Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membangunkan Sistem Amaran Berasaskan Teknologi Angkasa untuk mengesan tumpahan minyak lebih pantas di perairan negara.

Ketua penyelidik Prof. Madya Dr.Shattri Mansor berkata, sistem itu menggunakan data daripada satelit seperti TiungSAT-1, Landsat, SPOT, ERS-1 ataupun Radarsat.

Kelebihan sistem ini ialah ia memproses data dari satelit dan menjejaki tumpahan minyak lebih awal sebelum ia tiba ke pantai ataupun kawasan batu karang, penangkapan ikan atau sempadan perairan negara jiran.

Menurut beliau, sistem itu mampu memproses data dan mengesan tumpahan dalam tempoh satu jam sahaja. Pengesanan tumpahan minyak dapat dilakukan secara automatik.

"Ini adalah kelebihan yang ada berbanding apa yang ada sekarang iatu tumpahan hanya dapat dikesan sama ada ia telah merebak ataupun sampai ke kawasan pantai," katanya.

Sekali gus ia dapat menjimatkan masa dan kos bagi pembersihan tumpahan minyak serta menyelamatkan kawasan-kawasan berkenaan.

Secara umumnya menurut Dr.Shattri, proses bermula dengan penerimaan data sesuatu kawasan daripada operator satelit di stesens penerimaan satelit. Keupayaan menerima data satelit bergantung kepada kemampuan penghantaran data melalui Internet.

"Bagaimanapun data yang diberi adalah data mentah iaitu hanya terdapat maklumat umum sesuatu kawasan itu dan di sini adalah tugas kita untuk memprosesnya dan mengesan tumpahan berkenaan," katanya.

Pemprosesan data itu melalui tiga peringkat iaitu penerimaan imej satelit sama ada dari sensor radar atau optik, prapemprosesan (pembetulan radiometrik dan geomatik) dan pos-pemprosesan (analisis tekstur dan penurasan).

Menurut Dr.Shattri apabila data diterima, ia akan diperbetulkan iaitu mendapatkan data geometri bagi keadaan sebenar sesuatu kawasan dan selepas itu mengenal pasti sama ada kawasan itu mempunyai tumpahan minyak.

"Namun begitu data-data yang diterima tidak semestinya menunjukkan berlaku kejadian itu kerana banyak kemungkinan yang ada dalam imej data tersebut," jelasnya.

Setelah itu, teknik pemprosesan seterusnya dilakukan iaitu kerja-kerja penapisan dengan mengasingkan signal-signal yang tiada kaitan dengan tumpahan minyak.

Katanya, apabila kawasan yang ada tumpahan minyak dikenalpasti data itu akan diekstrak dan kemudian diintegrasikan ke dalam pangkalan data Sistem Maklumat Geografi (GIS).

"Sistem makulmat ini bercirikan sistem sokongan pemutusan," ujarnya.

Ia mengandungi pelbagai maklumat berkaitan seperti infrastruktur dan indeks sensitiviti alam sekitar (ESI).

Pelbagai maklumat boleh dijana bertujuan membantu pengguna membuat keputusan berkaitan insiden tumpahan minyak.

Para penyelidik katanya, akan membuat andaian dan ramalan ke mana hala atau merebaknya tumpahan minyak itu dengan bantuan maklumat persekitaran termasuk arah angin dan arus laut.

Ia menggunakan Model Trajektori iaitu sebuah model yang memberi ramalan apa yang berlaku seterusnya.

"Pada peringkat ini kita telah tahu lokasi tumpahan minyak dan arah halanya," katanya.

Tindakan seterusnya akan dibuat dengan menyediakan satu pelan kontigensi dengan ramalan sama ada tumpahan itu akan melebar dan menjejaskan kawasan sensitif seperti kawasan batu karang, perairan negara jiran ataupun kawasan penangkapan ikan.

"Agensi yang bertanggungjawab kemudiannya boleh mengambil tindakan sewajarnya bagi mengurangkan risiko akibat tumpahan minyak ini," katanya.

Pada peringkat ini pwngguna boleh mendapatkan pelan kontijensi itu sama ada secara paparan komputer, peta atau salinan digital. Ia boleh disalurkan kepada pihak yang bertanggungjawab itu untuk tindakan selanjutnya.

Di samping itu, sasaran seperti kapal juga boleh dikesan oleh kebanyakan data satelit beresolusi tinggi. Dengan menggunakan teknik pemprosesan imej satelit bersesuaian, kemungkinan untuk mengesan kapal yang menyebabkan tumpahan minyak adalah tinggi.

Teknologi sensor dan satelit kini membolehkan pengesanan dan memetakan sasaran bersaiz 1 meter persegi.

Oleh yang demikian, saiz kebanyakan kapal yang ternyata lebih besar dari 1 meter persegi boleh dikesan oleh data satelit.

Menurut Dr. Shattri, sistem amaran awal yang dibangunkan boleh diguna pakai untuk pengesanan, bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.

Permodelan dan analisis khusus untuk tujuan ramalan banjir dan tanah runtuh itu telah pun dibangunkan.

Teras sistemnya adalah bersandarkan teknologi penderiaan jauh (remote sensing) dan GIS. Data yang digunakan tidak terbatas kepada data satelit sahaja, bahkan data daripada pelbagai sumber boleh diguna dan diproses termasuklah data dari sistem lokasi global (GPS).

Menurut Dr.Shattri, projek pembangunan sistem tersebut bermula dari 1996 sehingga 2001.

Pembiayaan projek itu adalah melalui geran Penumpuan Penyelidikan bagi Bidang-Bidang Keutamaan (IRPA).

Manakala ahli kumpulan yang terlibat dalam sistem amaran awal tumpahan minyak termasuklah Prof. Dr.Mohd Ibrahim Mohamed, Dr. Abdul Rashid Mohd. Shariff, Ahmad Rodzi Mahmud, Hameed Assilzadeh, Tee Tuan Poy dan Roslinah Samad.

Comments
Only registered users can write comments!

3.25 Copyright (C) 2007 Alain Georgette / Copyright (C) 2006 Frantisek Hliva. All rights reserved."

 
You are here  :