| JPPH guna Sistem Maklumat Penilaian |
|
|
|
| Wednesday, 20 December 1995 00:00 | ||||||||
|
Source: Berita Harian JABATAN Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) mempertingkatkan kecekapan pengendaliannya menggunakan kaedah Sistem Maklumat Penilaian (VIS) yang mengandungi modul Sistem Pengurusan Maklumat (MIS), Penilaian Berbantukan Komputer (CAV) dan Sistem Maklumat Geografi (GIS).Aplikasi VIS membantu pegawai teknikal JPPH melakukan kerja penilaian dengan menyediakan beberapa modul kaedah dan memilih cara yang sesuai sebelum memasukkan kriteria tertentu. Berdasarkan data perbandingan yang disimpan di dalam pangkalan data maka secara automatik komputer akan memaparkan cadangan nilai harta tanah berkenaan yang mana ini mempercepatkan proses penilaian secara manual. Ketua Pengarahnya, Datuk Muhammad Nawawi Mohd Arshad, berkata penggunaan aplikasi VIS selari dengan hasrat jabatannya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. "Berdasarkan Pelan Induk Perkomputeran JPPH sebanyak lima fasa akan dilaksanakan secara berperingkat hingga berakhirnya Rancangan Malaysia Ketujuh (RM-7) menjelang tahun 2000," katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena majlis menandatangani kontrak perolehan peralatan untuk projek perkomputeran JPPH fasa dua peringkat satu dengan Dataware Sdn Bhd. Turut hadir ialah Pengurus Besar Kumpulan Renong Solutions Sdn Bhd, Dr. M Ghazie Ismail. Projek perkomputeran JPPH fasa dua peringkat satu itu membabitkan pembelian perkakasan dan perisian berjumlah RM2.05 juta merangkumi pelayan MIS dan GIS, 12 unit komputer peribadi, pemacu cakera optik, digitizer, pencetak warna, sistem pencetak, pencetak laser dan pengimbas. Sebelum pelaksanaan projek perkomputeran fasa dua itu, JPPH sudah melengkapkan pejabatnya di Wilayah Persekutuan dengan peralatan komputer menggunakan platform UNIX serta perisian Sistem Maklumat Harta Tanah (Lapis) yang dibangunkan menggunakan sistem pangkalan data RDBMS pada 1989. Menurutnya, 32 cawangan JPPH di seluruh negara termasuk ibu pejabat dan Institut Penilaian Negara akan dilengkapkan dengan sistem GIS dan MIS serta disambungkan menggunakan Sistem Rangkaian Luas (WAN) bagi mempercepatkan pertukaran maklumat antara jabatan. "Projek pemasangan sistem perkomputeran fasa dua peringkat satu ini akan mengambil masa kira-kira sepuluh bulan untuk disiapkan dan dijangka mula beroperasi Oktober tahun depan," katanya. JPPH juga merancang untuk menyambungkan pangkalan datanya dengan jabatan ukur, pejabat tanah daerah dan majlis kerajaan tempatan," katanya.
Only registered users can write comments!
Powered by !JoomlaComment 3.25
3.25 Copyright (C) 2007 Alain Georgette / Copyright (C) 2006 Frantisek Hliva. All rights reserved."
|
||||||||