Вход

Вход

Логин: Пароль:

MalaysiaGIS.com

You are here  :
Pengeluaran balak guna teknologi angkasa lepas PDF Print E-mail
Friday, 03 March 1995 00:00

Source: Berita Harian

Teknologi angkasa lepas kini sedang diubahsuaikan untuk membantu syarikat pembalakan moden di Sarawak mengurus dan menebang pokok berasaskan kaedah mengekalkan hutan.

Imej satelit dan gambar yang diambil dari udara berfungsi penting dalam membantu syarikat berkenaan merancang pengurusan dan penebangan sumber alam semulajadi yang berharga serta mengurangkan kesannya terhadap sistem ekologi di samping persekitaran.

Bagaimanakah imej satelit dan penggambaran udara memberi manfaat kepada sistem ekologi dan alam sekitar?

Imej yang didapati melalui satelit dikodkan dengan menggunakan jaluran warna palsu. Tekstur, kecerahan dan kegelapan warna menunjukkan penubuhan topografi, dataran, liputan tumbuhan dan penggunaan tanah yang berbeza. Ini dilengkapi gambar daripada udara yang memberikan gambaran 3-D dari atas.

Maklumat terperinci mengenai dataran, darjah kecerunan, jenis hutan, taburan spesis dan ketumpatan dengan mudah dapat ditafsir oleh pakar perhutanan.

"Maklumat yang diperolehi melalui Pengesahan Jarak jauh ini sangat penting bagi membolehkan syarikat pembalakan merancang dengan betul rangkaian jalan laluan pembalakan dan operasi penebangan dengan cara yang sistematik dan cekap.

"Secara langsung, kaedah ini meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos, serta pada masa yang sama mengurangkan kesan terhadap alam sekitar," kata Pengurus Operasi Samling Corporation Sdn Bhd yang enggan dikenali.

Lama sebelum penggunaan teknologi Pengesanan Jarak jauh ini, syarikat balak yang bertanggungjawab seperti Samling Corporation terpaksa menggunakan kaji selidik tanah yang sukar dan memakan masa untuk mengumpul data penting dan maklumat geografi.

Penggunakan teknologi Pengesanan Jarak Jauh mempercepatkan proses pengumpulan data dan perancangan.

Ini membabitkan perancangan rangkaian jalan dan operasi penebangan yang cekap untuk memenuhi garis panduan ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan.

Garis panduan pengurusan dan kejuruteraan ini adalah berdasarkan kepada cadangan yang dibuat oleh Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP)/Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) selepas kedua-dua organisasi itu menjalankan kajian di antara 1977 and 1981.

"Sebagai contoh, maklumat yang diperolehi melalui kaedah Pengesanan Jarak jauh akan membolehkan jurutera hutan yang terlatih menyeleraskan rangkaian jalan laluan balak yang terbaik untuk memastikan jarak gelinciran pada tahap optimum dan mengekalkan ketumpatan jalan pada tahap minimum," kata Pengurus Operasi itu.

Jurutera hutan perlu menimbangkan penjajaran dan rekabentuk yang betul untuk mengelakkan halangan terhadap saliran semulajadi, permotongan dan timbusan tanah yang berlebihanm serta kecuraman yang membahayakan, katanya.

Beliau berkata setiap peringkat pembinaan jalan laluan pembalakan daripada peringkat perancangan hingga penyiapan mesti diperiksa dan diluluskan oleh Jabatan Perhutana sebelum operasi pembalakan dapat dilakukan.

Ini biasanya mengambil masa dua tahun. Denda berat dikenakan jika garis panduan yang ditetapkan tidak dipatuhinya.

Satu lagi teknologi terkini iaitu Sistem Maklumat Geografi (GIS), digunakan untuk memperkemaskan pengumpulan, pemprosesan dan analisis data geografi bagi membolehkan keputusan dibuat dengan cepat. Ini sangat penting bagi membolehkan pengurusan hutan dan sumber semulajadi lain dilakukan dengan cekap.

Sampling Corporation menggunakan teknologi berasaskan komputer ini untuk mempertingkatkan keberkesanan perancangannya.

GIS membolehkan pengguna menukar data asas menjadi maklumat dengan sentuhan satu butang sahaja.

Dalam konteks perhutanan amali, data yang didapati melalui GIS antara lain termasuk data geografim topografi, hidrologi, jenis hutan, kegunaan tanah dan inventori hutan. Data ini dikumpul, dianalisis dan disisihkan dengan segera untuk mendapatkan maklumat yang boleh digunakan.

Ini termasuk hitungan pokok, taburan spesis, ukuran garis pusat, tumbuhan lain, jenis dan aspek cerun, corak perparitan semulajadi, jenis tanah dan pembentukan sub strat serta banyak lagi maklumat yang digunakan oleh pengusaha hutan, jurutera hutan dan pengurus perancangan.

Pendek kata, teknologi ini digunakan untuk memaksimumkan keberkesanan perancangan dan kecekapan operasi, dan pada masa yang sama, melindungi sistem ekologi dan sumber hutan bagi memastikan sumber hutan yang berkekalan, katanya lagi.

Beliau berkata, operasi pembalakan memerlukan kakitangan yang cukup terlatih dan sokongan teknologi. Tidak banyak industri yang memerlukan syarikat melabur di antara RM50 hingga RM60 juta dalam peralatan dan infrastruktur sebelum melihat hasilnya.

Sehubungan itu, katanya, memang menjadi komitmen jangka panjang syarikat pembalakan untuk berusaha menggunakan sumber hutan dengan sebaik-baiknya supaya sumber semulajadi ini dapat dikekalkan.

Kerana itu, Samling Corporation menggunakan teknologi tinggi dan memastikan kakitangan pengurusan mendapat latihan secukupnya.

Comments
Only registered users can write comments!

3.25 Copyright (C) 2007 Alain Georgette / Copyright (C) 2006 Frantisek Hliva. All rights reserved."

 
You are here  :