| RS, GIS Kaji Rupa Bumi Lembah Langat |
|
|
|
| Wednesday, 10 May 1995 00:00 | ||||||||
|
Source: Berita Harian Penggunaan kaedah Penderiaan Jauh (Remote Sensing atau RS) dan Sistem Maklumat Geografi (GIS) sebagai alat mempercepat proses menyiapkan pelbagai jenis data kini semakin penting berikutan bertambahnya kegiatan penebangan dan proses perbandaran sehingga memberi kesan kepada perubahan bentuk muka bumi.Kedua-dua kaedah itu mempunyai fungsi berbeza. Bagaimanapun, keupayaaannya menyediakan data terperinci mengenai perubahan bentuk muka bumi akibat kegiatan penebangan balak ataupun perbandaran tidak dapat disangkal. Kaedah yang serupa sudah dimanfaat secara meluas di negara maju. Bersandarkan itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menubuhkan Pusat Penderiaan Jauh dan Sistem Maklumat Geografi (RS dan GIS) di peringkat tempatan. Pusat yang ditubuhkan Januari lalu itu mendapat peruntukan kira-kira RM700,000 daripada UKM. Ia kini dimanfaat untuk penyelidikan dan penyediaan data awal mengenai guna tanah dan keadaan muka bumi di Lembah Langat termasuk Sepang) melalui Program Antarabangsa Geosfera dan Biosfera (IGBP) tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ketua Jabatan Geografi, Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr Abdul Hamid Abdullah, berkata RS adalah kaedah mengumpul dan memproses maklumat bumi terutama sumber alam semulajadi dan sosio budaya melalui data fotografi yang diperolehi melalui satelit. "GIS pula adalah peralatan berkomputer yang mampu mengumpul, menyimpan, mengeluar, membuat transformasi dan memaparkan data ruang (spatial). Gabungan kedua-duanya membolehkan penyelidik mengetahui perubahan bentuk bumi sehingga membawa kepada perubahan cuaca sebelum langkah susulan diambil," katanya. Beliau berkata, kami akan meningkatkan keupayaan pusat ini secara berperingkat-peringkat seperti menambah penggunaan sistem multimedia, mel elektronik bagi memudahkan perhubungan di antara penyelidik dan pakej statistik. Menurutnya, kepesatan kegiatan industri dan pembangunan di kawasan Lembah Klang menyebabkan guna tanah sampai ke tahap maksimum. "Boleh dikatakan proses perindustrian beralih di kawasan terbabit terutama dengan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pejabat pentadbiran kerajaan yang baru di Petra Jaya (Prang Besar) di Sepang," katanya Dr Abdul Hamid. Pada peringkat permulaan penyelidikan dan pengumpulan data melalui kaedah RS sedang giat dilakukan bagi mengetahui keadaan topografi Lembah Langat. Ia bertujuan memudahkan penyelidik mengenal pasti aliran guna tanah di kawasan itu. Proses pengumpulan data melalui RS akan diikuti dengan penghasilan gambar topografi berwarna sebelum proses menggunakan kaedah GIS untuk melukis gambar dalam bentuk peta dilakukan. Langkah melukis peta dibuat melalui kaedah Digitizer berpandukan tanda atau penunjuk dalam gambar topografi yang dihasilkan oleh RS. Setiap tanda atau penunjuk seperti sempadan kawasan, kawasan hutan dan perbandaran dilukis secara berasingan sebelum digabungkan menjadi peta lengkap. Abdul Hamid berkata, RS dan GIS dapat mempercepatkan proses pembuatan peta secara manual yang lazimnya memerlukan jangka masa panjang pada hal peta itu diperlukan segera bagi merancang pembangunan kawasan. Beliau yakin penggunaan GIS boleh diperluas bagi mengesan pergerakan kereta penduduk ibu kota yang masuk ke pusat bandar bagi tujuan mengawal kesesakan dan pihak berkuasa boleh mengenakan caj jika didapati ada kereta berada lama dalam kawasan ibu kota. "Tidak seperti GIS, kaedah RS dapat mengesan galian dalam bumi di sesuatu kawasan berdasarkan jarak gelombang (wavelength) yang dikeluarkan," katanya. RS menggunakan perisian Sistem Analisis Data Sumber Bumi (ERDAS) yang mampu mentafsir dan menganalisis gambar yang diambil melalui satelit, manakala GIS menggunakan ARC/INFO dan MapInfo. Bagi melaksanakan kedua-dua kaedah itu, pusat berkenaan menyediakan kemudahan termasuk sistem pelayan (server) model Sun Sparcstation, tujuh unit stesen kerja Unix, sistem operasi Unix, pelakar warna Hewlett-Packard DesignJet 650, pengimbas warna, kad video, kamera video dan Digitizer.
Only registered users can write comments!
Powered by !JoomlaComment 3.25
3.25 Copyright (C) 2007 Alain Georgette / Copyright (C) 2006 Frantisek Hliva. All rights reserved."
|
||||||||